Rambut Dan Tulang Dalam Perut Buaya, Ditangkap Di Kota Samarahan


KUCHING: Beberapa tulang dan rambut antara yang dijumpai dalam perut seekor buaya yang ditangkap di Sungai Kampung Pinag, Kota Samarahan dekat sini, semalam.

Memetik laporan sarawakvoice, tangkap buaya tersebut merupakan sebahagian daripada operasi khas Sarawak Forestry Corporation (SFC) selepas serangan terhadap seorang penduduk, Ismandi Osman pada September lalu.

Menurut kenyataan SFC, operasi itu dilaksanakan Pasukan Tindak Pantas Hidupan Liar (SWAT) dengan fokus kepada buaya jantan bersaiz gergasi yang disyaki menyerang mangsa.

"Tumpuan operasi adalah sekitar 8km dari lokasi mangsa disyaki diserang, melibatkan jajaran Sungai Pinang hingga ke Kampung Endap," katanya.

Dalam operasi tersebut pasukan SWAT menyediakan 13 umpan yang akhirnya menjerat seekor buaya jantan sepanjang 4.4 meter panjang dengan berat 600kg.

"Buaya tersebut kemudian dibelah perutnya dan pasukan terlibat menjumpai beberapa tulang serta rambut.

"Ujian forensik kini sedang dilakukan oleh pihak berwajib bagi menentukan sama ada tulang dan rambut itu milik manusia," jelas kenyataan itu.

Operasi di Batang Samarahan akan diteruskan bagi menangkap beberapa lagi buaya dewasa yang bersaiz gergasi dan mengancam pengguna sungai terbabit.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA