Rakyat Thailand Mahukan Puteri Sebagai Pengganti



Kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober lalu, meninggalkan kesan yang mendalam terhadap rakyat Thailand.

Warganegara Gajah Putih yang berkumpul di hospital di mana tempat raja mereka mangkat menangis dan pilu tatkala mendengar perkhabaran berita itu, hinggakan kerajaan Thailand menetapkan tempoh masa berkabung selama setahun.

"Tuanku mangkat dalam keadaan tenang di Hospital Siriraj,"jelas kenyataan istana Thailand, petik laporan Channel News Asia.

Bagi rakyat Thailand, Raja Bhumibol 88, adalah segalanya. Dialah sosok yang berjaya menyatukan Thailand tatkala zaman peralihan kuasa daripada perdana menteri kepada kudeta tentera.

Bhumibol pernah menegur Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang autokratik, baginda juga pernah memanggil pemimpin tentera pada 1992 untuk diadakan pilihan raya pada tahun tersebut, dilaporkan dua orang jeneral tentera yang dipanggilnya, menghadap dalam keadaan berlutut.

Bhumibol atau Raja Rama IX dimahkotakan menjadi raja pada tahun 1946 dan mula menaiki takhta pada tahun 1950, ketika itu usianya baharu menjengah 19 tahun, dari awal pemerintahannya baginda telah mendapat tempat dihati rakyatnya kerana sikap kesederhanaannya dan keprihatinan pada rakyat.

Raja Bhumibol dan Ratu Sirikit menggunakan kekayaan kerajaan untuk membangunkan sekolah dan kemudahan umum yang lain, baginda mencintai petani dan begitu juga petani.

Sekiranya baginda tidak memakai busana diraja, baginda akan membawa kamera yang dikalungkan di lehernya. Bhumibol memang seorang pencinta fotografi.

Di Thailand, gambar Raja Bhumibol dan Ratu Sirikit ada di mana-mana. Bahkan sebelum sebuah filem ditayangkan di panggung wayang gambar baginda akan ditayangkan ketika mana lagu kebangsaan dimainkan bersama.

Bhumibol memerintah selama 70 tahun dan merupakan raja yang paling lama berkhidmat di dunia ini.

Sementara itu, pewarisnya Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn 64, di ibaratkan seperti langit dan bumi jika dibandingkan dengan Bhumibol, Jika ayahnya sederhana, Vajiralongkorn dikenali dengan jolokan suka hidup mewah dan suka berpesta, Bhumibol mengahwini seorang wanita seumur hidupnya sementara Vajiralongkorn sudah tiga kali bercerai.

Vajiralongkorn yang lahir pada 1952, merupakan lulusan Royal Military College di Australia.Baginda merupakan seorang juruterbang tentera.

Pada Tahun 2014, video pesta Vajiralongkorn telah menjadi viral dan membuatkan keluarga diraja Thailand malu, dan pada bulan Julai 2016 lalu, Vajiralongkorn kembali mencuri perhatian seluruh dunia.

Seorang jurugambar memotret gambar baginda dalam keadaan yang memalukan tatkala baginda berada di Jerman.

Akibat penyebaran foto itu, polis telah menggeledah rumah seorang wanita bernama Noppawan di Bangkok. Noppawan adalah isteri kepada Andrew MacGregor Marshall, seorang wartawan berasal dari Britain. Sebelumnya Marshall menyiarkan gambar memalukan Vajiralongkorn itu di akaun media sosial miliknya.

Menurut Perlembagaan Thailand, penghinaan pada keluarga diraja Thailand akan dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun, dalam kes ini Noppawan akhirnya dibebaskan selepas di soal selidik selama lapan jam.

Rakyat Thailand sebenarnya lebih mengharapkan puteri raja, Maha Chakri Sirindhorn, untuk meneruskan dinasti pemerintahan, menurut perlembagaan Thailand wanita juga dibolehkan untuk menduduki takhta pemerintahan.

Puteri Sirindhorn lebih mirip ayahnya Bhumipol yang gemar melakukan kerja sosial dan menemui masyarakat.

Namun sekiranya pemerintahan tentera kini mendukung Vajiralongkorn untuk berkuasa. Harapan rakyat Thailand agar Puteri Sirindhorn menaiki takhta mungkin tidak akan berlaku.

Kini hanya masa yang menentukan, buat masa ini Vajiralongkorn masih tidak mahu menaiki takhta dan mahu masa untuk sama-sama berkabung dengan rakyat Thailand selepas kematian bapanya

Dan orang kepercayaan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, Prem Tinsulanonda diangkat menjadi pemangku raja untuk menguruskan tahkta itu, menggantikan buat sementara waktu putera mahkota dan pewaris takhta, Maha Vajiralongkorn.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan selama mana Prem, 96, bekas panglima tentera dan perdana menteri itu akan memangku jawatan berkenaan. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA