Rakyat Malaysia Ditahan Di Filipina Bukan Pakar Bom


KUALA LUMPUR - Susulan penahanan seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Filipina baru-baru ini, polis menafikan lelaki berkenaan seorang pakar bom.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis, bagaimanapun, masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa Filipina berhubung penahanan lelaki dikenali sebagai Ahmad Tarmizi Mohamad Sayuti berusia 30-an, berasal dari Kelantan.

"Daripada risikan yang dibuat, dia bukan pakar bom...Kami akan menyiasat tujuan dia ke sana (Filipina).

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan penahanan dua rakyat Malaysia di Filipina]

"Mungkin tujuan dia untuk menyebarkan agama Islam atau menuntut ilmu lanjutan di sana. Kami sedang menunggu laporan penuh daripada pihak Filipina," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Khalid sebelum itu menyampaikan sijil kepada 68 pegawai dan anggota dari Balai Polis Brickfields dan Taman Tun Dr Ismail sempena majlis graduasi peserta kursus 'Service Excellence Delivery In Action' yang diadakan selama sebulan.

Beliau berkata, polis belum dapat mengesahkan Ahmad Tarmizi, yang ditahan di Maluso, Filipina, kira-kira tiga minggu lalu, adalah ahli kumpulan militan.

"Saya belum dapat mengesahkan sama ada dia militan atau tidak, sehingga menerima laporan penuh dari Filipina," kata Khalid.

Media Filipina sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia ditangkap di Pelabuhan Maluso ketika cuba menyusup masuk ke Malaysia awal bulan ini dan kini di bawah tahanan pihak berkuasa Filipina. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA