Rakyat Filipina Hadapi Taufan Terkuat


MANILA – Berjuta-juta penduduk di Filipina semalam diarah bersiap sedia untuk menghadapi Taufan Super Haima, antara ribut paling kuat yang akan melanda negara tersebut.

Taufan Super Haima diramal membadai kawasan pedalaman di utara Filipina sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan) malam tadi. Ribut itu membawa angin kencang hampir menyamai Taufan Super Haiyan yang meragut 7,350 nyawa pada 2013.

“Kami tidak hanya menjangkakan hujan lebat dan angin kencang. Malah, banjir, tanah runtuh dan ribut di kawasan pantai.

“Penduduk di kawasan berkenaan diminta berpindah ke tempat lebih selamat,” kata Ketua Pusat Penyelaras Maklumat dan Bencana, Allan Tabel.

Menurutnya, Taufan Super Haima diramalkan meliputi kawasan seluas 800 kilometer dengan lebih 10 juta penduduk di Pulau Luzon bakal terjejas.

Ribut itu bergerak menuju ke Filipina dengan membawa angin mencecah kelajuan 315 kilometer sejam.

Filipina berdepan dengan 20 ribut kuat pada setiap tahun yang kebanyakannya menyebabkan kemalangan jiwa. – AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA