Raja Thailand Mangkat Setelah 70 Tahun Memerintah



BANGKOK – Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej disahkan mangkat dalam usia 88 tahun, menurut agensi berita Xinhua yang memetik pengesahan daripada Biro Kerabat Diraja di sini hari ini.

Baginda dilaporkan menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Siriraj sebelum pengumuman rasmi daripada pihak istana Thailand dikeluarkan lewat sejam kemudian.

Pemerintah Thailand tersebut yang merupakan raja paling lama memerintah di dunia, sebenarnya telah lama menerima rawatan di hospital berkenaan sejak beberapa tahun.

Lewat semalam, Biro Kerabat Diraja mengumumkan tekanan darah baginda turun sekali lagi manakala denyutan nadi bertambah laju dan kandungan asid dalam darah lebih tinggi.

Bhumibol menaiki takhta sejak 1946 amat dihormati rakyat dan disifatkan sebagai tokoh yang menyatukan rakyat di negara susulan perpecahan akibat perbezaan fahaman politik.

Pada usia yang menginjak hampir seabad, baginda memecah rekod pemegang takhta paling lama memerintah dalam sejarah Thai, iaitu selama 70 tahun sejak pertabalan pada 1946.

Bhumibol merupakan raja kesembilan dalam sejarah dinasti Chakri berusia 234 tahun dan menaiki takhta susulan kemangkatan kakandanya, Ananda Mahidol ditembak secara misteri.

Sepanjang pemerintahan baginda selama tujuh dekad, Thailand menyaksikan 19 kali rampasan kuasa termasuk 12 yang berjaya; sejak sistem monarki mutlak dimansuhkan pada 1932 lalu.

Dalam pada itu, stesen penyiaran antarabangsa BBC melaporkan, satu mesyuarat tidak berjadual Kabinet Thailand diadakan jam 5 petang disusuli pengumuman pihak istana pada pukul 5.30 petang.

Sementara itu, rakyat Thai dilaporkan sanggup menukar gambar profail pada laman Facebook dengan gambar nama mereka beserta ayat “Sayangkan Raja” atau “Daulat Tuanku”.

Mereka turut menghiasi akaun media sosial masing-masing dengan corak hati berwarna kuning yang berlatar belakang warna merah jambu sebagai menzahirkan sokongan.

Ini kerana, warna kuning melambangkan warna rasmi keluarga diraja dan juga warna tradisional bagi hari Isnin dalam kepercayaan Thai, yang merupakan hari lahir Bhumibol. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA