Puteri Anne Tiba Di Kuching Untuk Lawatan Sambil Belajar

Foto Bernama
KUCHING: Puteri Anne dari Britain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk memulakan lawatan sambil belajar selama dua hari.

Sebaik tiba, baginda dibawa ke pejabat Sarawak Energy Berhad (SEB) dan diberi taklimat mengenai peranan SEB oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu,  Datuk Torstein Dale Sjotveit.

Anakanda kepada Ratu Elizabeth II dan Putera Philip ini kemudiannya di bawa melawat Galeria SEB di mana baginda turut diterangkan mengenai peranan SEB membantu masyarakat Penan yang berada di Skim Penempatan Murum.

Pengurus Kanan 1 SEB, (Pelaburan Sosial dan Pembangunan Komuniti Tanggungjawab Sosial Korporat), Joanne Tan Cho Yian berkata Puteri Anne agak  teruja apabila mengetahui SEB membantu masyarakat Penan.

"Saya turut beritahu baginda mengenai kraftangan kaum Penan dan bagaimana SEB mahu mereka menambah baik kraf mereka untuk kita pasarkan bagi menambah pendapatan mereka.

"Dan kita juga beri mereka latihan agar kita tingkatkan kualiti dan reka bentuk kraf mereka. Baginda bertanya sama ada semua kraf itu adalah hasil reka bentuk asal kaum Penan, saya berkata ya dan baginda nampaknya begitu teruja," katanya kepada Bernama.

Puteri Anne meluangkan masa hampir satu jam di pejabat SEB sebelum berlepas ke pejabat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEC).

Baginda turut dijadual membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di sebuah hotel di sini sebelum menghadiri majlis makan malam yang dihoskan ketua menteri. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA