PRU14: PKR Sarawak Kemuka Calon Hujung Bulan Ini



KUCHING: Senarai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan dikemukakan kepada kepimpinan pusat penghujung bulan ini.

Memetik laporan Utusan Borneo, Pengerusi PKR Negeri Baru Bian berkata, bagi PKR mereka akan mengemukakan jumlah kerusi berdasarkan status quo sebagai permulaan.

Bagaimanapun, katanya akan ada mesyuarat bersama ibu pejabat peringkat nasional untuk melihat perkara itu.

Menurutnya lagi, sebagai persediaan ia dimulakan di peringkat cabang untuk memilih calon-calon sebelum dikemukakan kepada pucuk kepimpinan.

“Kita melakukan persiapan dari sekarang dan kita diminta mengemukakan nama calon-calon kepada kepimpinan menjelang hujung bulan ini.

“Kita juga melihat kepada maklum balas terutamanya daripada ahli-ahli serta akar umbi mengenai persiapan itu selain belajar daripada PRU13 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

Baru berkata, antara isu turut dibincangkan pada mesyuarat sebelum ini termasuk mengenai rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan bersama DAP.

“DAP Sarawak juga mengemukakan cadangan mengenai agihan itu dan kita melihat agak logik untuk rundingan namun kita masih perlu duduk bersama memuktamadkan.

“Namun, saya meramalkan tidak ada masalah dalam rundingan agihan itu kerana tidak banyak perubahan dari segi persempadanan kerusi berbanding kerusi DUN yang ada persempadanan semula,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh perbincangan bersama rakan pakatannya untuk memutuskan perkara tersebut selain memberitahu akan diadakan dalam masa terdekat.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA