Projek PR1MA Seluruh Negara Tidak Alami Kelewatan

Gambar Kosmo
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini diberitahu bahawa kesemua projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara tidak mengalami masalah kelewatan dan ia berjalan mengikut jadual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, pelaksanaan projek PR1MA dilaksanakan dengan baik.

"Semua projek PR1MA mengikut jadual. Tidak mungkin PR1MA akan dapat berbuat demikian kalau mempunyai masalah pembayaran dan sebagainya," katanya menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) mengenai jumlah projek PR1MA yang mengalami kelewatan kerana masalah pembayaran kepada pihak subkontraktor.

Beliau berkata, pada masa ini, sebanyak 90 projek PR1MA terdiri daripada 103,615 unit rumah telah memulakan pembinaan di pelbagai lokasi seluruh negara.

Katanya, ia melibatkan projek di Johor dengan 5,747 unit; Kedah (13,987); Melaka (16,860); Negeri Sembilan (6,468); Pahang (7,263); Pulau Pinang (15,005); Perak (10,282); Perlis (1,311); Sabah (7,724) Sarawak; (4,288); Selangor (7,864); Terengganu (350); Kuala Lumpur (4,797) dan Kelantan (1,669).

Shahidan berkata, sebanyak 1,332 unit rumah pula telah berjaya disiapkan meliputi Putrajaya (530) serta Kuala Ketil (321) dan Sungai Petani (481) di Kedah.

Menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) berhubung pemilihan lokasi projek PR1MA yang tidak sesuai, Shahidan berkata, kerajaan sedia untuk berbincang dengan anggota Parlimen bagi mengenal pasti lokasi yang terbaik.–Bernama


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA