Projek hidro harus mengikut standard, prosedur berkualiti

KUCHING: Pelaksanaan projek tenaga hidro yang mengikut standard antarabangsa dan prosedur berkualiti bukan sahaja melestarikan pembangunan tetapi memberi pulangan ekonomi yang baik kepada komunitinya.

Perunding Bebas Dr Helen Locher berkata, projek tenaga hidro bukan perkara yang senang dilaksanakan dan sentiasa mencabar kerana ia bukan sahaja membabitkan impak alam sekitar tetapi kepada masyarakat terjejas.

Beliau memberi contoh Projek Tenaga Hidro Jirau, Brazil berkapasiti 3,750 megawat (MW) kini memberi manfaat ekonomi kepada penduduknya dan memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

“Daripada jumlah pekerja sekitar projek dianggarkan 70 peratus pekerja adalah dari wilayah itu sendiri iaitu mewujudkan 25,000 pekerjaan.

“Mereka yang terlibat bertanggungjawab dalam projek telah mengenal pasti pekerjaan selain melatih mereka sebagai tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Perspektif Global Mengenai Tenaga Hidro’ anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan bersama Swinburne University of Technology Kampus Sarawak di sini, malam kelmarin.

Helen berkata, antara isu yang sering menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan kuasa hidro di semua tempat adalah berkaitan penempatan semula populasi terjejas, kesan mata pencarian serta pampasan yang kurang kepada penduduk berkaitan.

“Masalah ini sering berlaku jika projek itu adalah perancangan yang lemah, maklumat asas yang lemah dan elaun tidak mencukupi untuk mitigasi sosial serta alam sekitar selain pampasan.

“Kita berasakan untuk setiap projek antara cabaran yang perlu diberi perhatian utama adalah komunikasi dengan mereka yang terlibat, impak kumulatif, biodiversiti serta ekosistem serta mekanisme perkongsian faedah dengan komuniti terjejas daripada projek,” tegasnya.

Mengulas lanjut, kata Helen di Malaysia dan Sarawak khasnya Empangan Murum adalah antara penyertaan terawal bagi menjalankan latihan atau pelaksanaan mengikut Protokol Penilaian Kelestarian Tenaga Hidro.

Jelasnya, tenaga hidro memainkan peranan unik bagi kedua-dua mitigasi dan diguna pakai untuk perubahan iklim.

Tambahan kata beliau, bahawa projek tenaga hidro adalah sumber yang amat berkesan dan kuasa hidro mempunyai kadar kecekapan tenaga elektrik yang paling tinggi iaitu daripada 85 peratus kepada 95 peratus.

Helen bekerja untuk Hidro Tasmania selama 18 tahun di mana beliau juga sebelum ini memegang pelbagai jawatan tertinggi. - UB

Beliau juga penyelaras Forum Penilaian Keles-tarian Tenaga Hidro antara 2008 dan 2010.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA