Program Banteras Dadah Perlu Dikaji Semula


KUCHING: Program membanteras gejala dadah dalam masyarakat terutama generasi muda perlu dikaji semula supaya bersesuaian dengan keadaan semasa yang lebih sofistikated, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata, ia termasuklah proses penyampaian maklumat kepada golongan sasar kerana pada masa sekarang generasi muda amat mudah untuk mendapatkan maklumat terutama menerusi internet.

Malah menurutnya, hubungan kekeluargaan juga mesti diberi keutamaan untuk menghindar anak-anak terjebak dalam gejala tidak bermoral itu selain pihak sekolah harus sentiasa memberi peringatan kepada pelajar tentang kemudaratan pengambilan dadah kepada kehidupan.

"Penyampaian maklumat dan pelaksanaan program perlu dikaji semula supaya bersesuaian dengan keadaan semasa yang lebih sofistikated.

"Pendekatan bersepadu amat diperlukan untuk membanteras gejala dadah dalam masyarakat terutama di kalangan generasi muda," katanya berucap pada Program Sekolah Perangi Dadah di SMK Bandar Samariang hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menegaskan, penglibatan setiap strata kepimpinan daripada peringkat tertinggi hingga institusi keluarga juga perlu diberi perhatian dalam membanteras gejala tersebut.

Menurutnya lagi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai akan meneruskan kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk kesinambungan program tersebut di seluruh kawasan.-Sarawakiana



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA