Program Amal Bantu Pesakit Kanser Wajar Disokong - TPM


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu masyarakat di negara ini menyokong sebarang program amal bertujuan mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser.

Beliau menarik perhatian bahawa kanser boleh menjadi penyebab utama masalah kewangan disebabkan rawatan yang sangat mahal selain menjejaskan keupayaan pesakit untuk bekerja.

"Masalah kewangan boleh menyebabkan kesan buruk kepada pesakit kanser apabila ia menjejaskan corak rawatan," katanya ketika merasmikan Malam Amal Bingkisan Kaseh Kanser OKB anjuran Yayasan Kanser Malaysia dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di sini malam Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Ahmad Zahid berkata beban kewangan akan lebih terasa dalam kalangan kumpulan sosio-ekonomi kurang beruntung dengan jaringan keselamatan sosial terhad.

"Saya menggesa setiap anggota masyarakat, agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan berganding bahu untuk terus membantu Yayasan Kanser Malaysia dan POKB dalam meringankan beban yang ditanggung pesakit kanser," kata timbalan perdana menteri.

Dalam video klip khas memuatkan bingkisan bicara Ahmad Zahid kepada hadirin yang ditayangkan pada majlis itu, beliau antara lain mahu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memainkan peranan dalam menyebarluaskan maklumat mengenai penyakit kanser kepada orang ramai.

"Usaha menyalurkan pengetahuan mencukupi mengenai kanser adalah kunci utama untuk membantu pesakit. KKMM perlu mainkan peranan sebar maklumat," kata timbalan perdana menteri.

Ahmad Zahid seterusnya berkata acara yang dianjurkan itu dilihat sebagai suatu platform terbaik dalam membantu pesakit kanser di seluruh negara melalui dana yang disalurkan ke Tabung Kaseh Kanser.

Berkongsi fakta mengenai kanser, beliau berkata kanser menjadi antara penyakit utama yang membawa maut dengan jangkaan peningkatan 54 peratus bagi kes baharu menjelang 2015 sekiranya tidak ditangani.

"Di negara kita pula, 13.01 peratus kematian di hospital kerajaan dan 25.53 peratus di hospital swasta adalah disebabkan kanser," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA