Potret Cinta Di Lereng Bukit Cetus Kontroversi


BEIJING: Kebiasaannya bunga atau coklat menjadi pilihan oleh golongan bercinta untuk diberikan kepada pasangan masing-masing.

Malah bagi yang memiliki bakat, mereka akan meluahkan rasa sayang menerusi sajak atau lagu untuk ditujukan kepada orang yang dicintai.

Namun berbeza pula dengan seorang wanita di China apabila mencetuskan perdebatan ramai pihak terutamanya pengguna media sosial kerana dia melukis potret seorang lelaki yang diminatinya di dinding tebing bukit.

Wanita itu yang merupakan seorang pendaki bukit dan hanya mahu dikenali sebagai Lingling berkata, lukisannya itu dihasilkan di kawasan berbatu di Taman Negara Xianju, wilayah Zhejiang dekat timur China.

Jelas wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu, hasil seninya tersebut memakan masa lebih dua bulan untuk disiapkan.

"Saya akan mula melukis seawal pukul tiga pagi dan mengambil masa selama beberapa jam.

"Lukisan ini dikenali sebagai '33Liuyun'," katanya kepada stesen radio tempatan, FM93.

Lukisan potret itu yang berukuran tujuh meter tinggi menarik perhatian ramai pihak apabila seorang pendaki lain menyebarkan hasil Lingling.

Sesetengah netizen menggelarnya sebagai 'lukisan batu cinta' dan menganggap tindakan Lingling itu sebagai menyalahi undang-undang kerana melakukan vandalisme di kawasan semula jadi.

Meskipun hasil kerjanya itu mendapat kecaman, ada juga pihak yang memuji wanita tersebut sebagai berbakat besar.

Pihak berkuasa China mengambil masa beberapa hari untuk mengesan lokasi tepat lukisan itu yang berada pada ketinggian 200 meter di Bukit Fanzheng.

Ditanya tentang identiti subjek lukisan itu, Lingling mengakui lelaki itu merupakan orang yang diminatinya.

"Saya mempunyai perasaan mendalam terhadapnya tetapi dia tidak memberi maklum balas.

"Saya pernah mengajaknya mendaki Batu Fanzheng bersama-sama tetapi dia sering sibuk," katanya.-BBC/mstaronline

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA