Polis Tahan Lelaki Rogol Gadis Bawah Umur Di Sibu


SIBU: Seorang lelaki berumur 20 tahun ditahan polis petang semalam selepas dipercayai melakukan hubungan seks dengan seorang gadis bawah umur di sini.

Bertindak daripada maklumat, pihak polis telah pergi ke sebuah rumah sewa di kawasan Perindustrian Sungai Antu untuk menahan suspek berumur 20 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika dihubungi mengesahkan satu laporan berhubung kes tersebut telah dibuat di Balai Polis Sungai Merah, petang kelmarin.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol,” jelasnya.

Sebelum kejadian, pengadu, 47, telah dimaklumkan oleh anak sulungnya bahawa mangsa telah keluar dari rumah ibu saudaranya di Sungai Antu di sini sekitar jam 6 petang Rabu lepas.

Difahamkan, mangsa telah berjanji dengan suspek yang dikenalinya sejak 2014 untuk berjumpa pada jam 3 petang hari berkenaan.

Mangsa dikatakan mengikut suspek ke sebuah bilik sewa di mana mereka dipercayai telah mengadakan hubungaan seks.

Mangsa kemudian dihantar oleh suspek ke rumah kawannya yang berdekatan sebelum pulang ke rumah pada jam 6.15 pagi.

Ahli keluarga mangsa hanya menyedari apa yang telah berlaku selepas mangsa menceritakan bahawa dia telah bermalam dan tidur dengan teman lelakinya.

Menurut Martin, mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Polis juga telah merampas pakaian suspek ketika kejadian sebagai bahan bukti.

Suspek yang berasal dari Sungai Stubah, Bintangor kini sedang ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.-BP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA