Polis Kuching Cekup Geng Ricky


KUCHING: Sekumpulan empat lelaki ahli “Geng Ricky” dan seorang pembeli ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam 15 kes pecah rumah di sekitar Stutong, di sini sejak setahun lalu.

Difahamkan kesemua ahli kumpulan berkenaan berusia dalam lingkungan umur 14 hingga 22 tahun dengan salah seorang daripada anggota geng berkenaan merupakan pelajar tingkatan dua di sekolah menengah disini.

Mereka ditangkap di kawasan perumahan sama di rumah masing-masing pada jam 2 petang pada 10 Oktober lalu.

Geng yang diketuai oleh seorang individu yang dikenali sebagai Ricky mempunyai rekod jenayah lampau dua tahun lalu kerana kesalahan yang sama.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, pada hari kejadian kumpulan terbabit telah memecah masuk sebuah rumah dan melarikan pelbagai barangan berharga mengakibat kan mangsa kerugian lebih RM23,000.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis menggerakkan usaha mengesan kumpulan berkenaan dan berjaya memberkas keempat-empat ahli kumpulan tersebut kurang daripada 24 jam selepas merompak rumah mangsa,"katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching hari ini.

Pihak polis turut menahan seorang lelaki yang berperanan sebagai pembeli hasil rompakan terbabit.

Turut dirampas pelbagai barangan seperti subang, rantai emas, tong gas, telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah televisyen 32 inci, wang tunai dan senjata tajam termasuk peralatan memecah rumah.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine kecuali pembeli.

Kesemua suspek masih dalam tahanan reman sehingga hari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA