Polis Buru Suspek Kes Tipu Jual Beli Tanah Di Kuching


KUCHING: Ditipu dalam urusan pertukaran nama hak milik tanah, seorang lelaki tempatan mengalami kerugian lebih RM500,000.

Mangsa yang berasal dari Kuching membeli tanah kampung tidak bergeran dan membuat bayaran kepada penduduk kampung bagi tanah tersebut.

Memetik laporan sarawakvoice.com, suspek menawarkan kepada mangsa untuk menguruskan pertukaran hak milik tanah tersebut bagi mengeluarkan geran tanah ke atas nama mangsa.

Setelah beberapa kali pertemuan dan perbincangan, mangsa telah bersetuju dan menyerahkan segala urusan kepada suspek untuk menguruskan pertukaran hak milik tanah dengan jalan mudah tanpa melalui prosedur yang betul seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Tanah dan Survei negeri.

Tanpa mengesyaki lelaki tersebut menipunya, mangsa telah menyerahkan duit sebagai upah dari tahun 2004 sehingga 2014 secara berperingkat-peringkat dengan memasukkan duit tersebut ke dalam tiga akaun bank tempatan yang berlainan.

Mangsa juga menyerahkan duit secara tunai kepada suspek di beberapa tempat pertemuan di sekitar Kuching.

Pembayaran dilakukan oleh mangsa apabila diminta oleh suspek kerana pada masa yang sama, mangsa menyangka suspek adalah pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang dapat menguruskan proses tukar hak milik tanah melalui ‘pintu belakang’.

Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu setelah menunggu hampir sepuluh tahun, namun tanah berkaitan masih belum ditukar hak milik ke atas namanya.

Mangsa kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Padungan, Kuching.

Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menjalankan siasatan ke atas laporan mangsa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan pihak polis berdasarkan maklumat awam, suspek dipercayai telah memperdayakan beberapa wanita bagi menggunakan tiga akaun tempatan atas nama wanita terbabit.

Ketiga-tiga akaun tersebut digunakan oleh suspek untuk mengarahkan mangsa memasukkan duit sebagai ‘upah’ menguruskan proses tukar nama hak milik tanah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan kes tersebut dan memaklumkan pihak polis telah mengenal pasti suspek yang berkaitan.

Tindakan bagi mengesan alamat suspek telah dijalankan dan serbuan di beberapa alamat yang berkaitan telah dibuat, namun suspek gagal ditemui pada masa ini.

Maklumat yang diperolehi daripada orang awam mendapati suspek telah melarikan diri setelah mengetahui dirinya dikehendaki oleh pihak polis.

Tindakan untuk mengesan suspek masih lagi giat dijalankan. Mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya suspek disabitkan bersalah dalam kes ini, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dengan sebat, dan juga dikenakan denda.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis bagi urusan mendapatkan hak milik tanah atau penukaran hak milik tanah dengan jalan mudah kerana setiap permohonan tersebut perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak.

Sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan suspek, boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis terdekat atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Fatimatul Hazimah Haron di talian 019-7118105 atau Pegawai Risikan dan Operasi, Inspektor Mohd Hafiz Arifin di talian 012-5140622.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA