PGA Tumpas Kegiatan Curi Pasir Haram Bau

KUCHING, 10 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan sindiket mencuri pasir yang dipercayai bergiat aktif sejak lima bulan lalu di Padang Pan, Bau kira-kira 40 kilometer dari sini, dalam satu serbuan awal hari ini.

Hasil risikan selama dua minggu, sepasukan anggota diketuai ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff bersama lapan anggota risikan telah melaksanakan Ops Libas dengan melakukan serang hendap di lokasi dan berjaya merampas pasir dan lima jentera bernilai RM821,800 serta menahan lima lelaki.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-11 PGA Supt Soh Hock Seng berkata sindiket berkenaan bijak menutup kegiatan haram itu seperti tidak akan menjalankan operasi pengambilan pasir pada waktu tengah hari.

Kegiatan haram itu dipercayai turut mendapat pertolongan penduduk setempat.

"Berikutan itu, anggota pasukan turut menahan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 25 hingga 51 tahun. Turut dirampas tiga buah lori dan dua buah excavator telah disita," katanya ketika dihubungi.

Hock Seng berkata semua hasil rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk siasatan lanjut.

Katanya kes akan disiasat di bawah Seksyen 32A Kanun Tanah Negeri Sarawak yang membawa hukuman maksimum RM5,000 untuk sebuah jentera.

"Selain itu, saman trafik turut dikeluarkan kepada tiga pemandu lori oleh Pegawai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Bau kerana kesalahan membawa muatan secara bahaya," katanya. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA