PGA Sarawak Rampas Rokok Seludup Bernilai RM481,500


KUCHING: Sebanyak 360 kotak rokok putih pelbagai jenama berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini semalam oleh sepasukan anggota dan pegawai unit risikan Ibu Pejabat Briged dan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Komander Briged PGA Sarawak, SAC Khaw kok Chin berkata dalam dua serbuan yang dijalankan pada jam 4 petang dan 10 malam itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 18,000 karton rokok seludup yang bernilai sebanyak RM 481, 500.

Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati kesemua rokok-rokok putih berkenaan diseludup masuk melalui laluan laut sebelah utara Sarawak sebelum dibawa ke bandar raya ini untuk dipasarkan.

“Risikan ke atas dua premis berkenaan dilakukan lebih kurang sebulan sebelum operasi penguatkuasaan dijalankan dan ketika serbuan di dua premis tersebut pihaknya didatangi dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 62 dan 40 tahun yang cuba menawarkan wang sebanyak RM 15,000 kepada pegawai dan anggota bertugas dengan tujuan untuk mengelak supaya barangan tersebut diambil tindakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PGA Batalion 11 Batu Kawah disini hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki tersebut ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta operasi terbabit untuk tindakan selanjutnya.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan operasi seperti ini akan dijalankan dari masa kesemasa, jelasnya.

Khaw menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat mengenai aktiviti tersebut kepada pihaknya dan ini merupakan rampasan terbesar pihak PGA Sarawak tahun ini melibatkan kes penyeludupan bernilai RM496, 500.

Kesemua hasil rampasan diserahkan kepada pihak kastam dan kes disiasat dibawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA