PGA Rampas 2,047 Kotak Minuman Keras

Foto Utusan Borneo
SIBU: Aktiviti penyeludupan minuman keras berselindung di dua buah rumah kayu Jalan Alan dan Batu 12, Jalan Oya di sini berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-10 apabila 2,047 kotak minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM127,100 dirampas malam Khamis lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-10 PGA, Superintenden Hasnan Karim berkata hasil maklumat diterima, pihaknya melancarkan Ops Libas diketuai ASP Sahamran Ibrahim bersama lapan anggota dari Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak dan serbuan pertama dibuat ke atas sebuah stor di lokasi pertama sekitar jam 8.40 pagi.

“Semasa pemeriksaan dilakukan di dalam stor rumah kayu, anggota bertugas mendapati stor tersebut mengandungi pelbagai jenis minuman keras dipercayai stok seludup,” katanya pada sidang media di sini malam kelmarin.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dipercayai pemilik barangan seludup itu turut ditahan mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya, semua barangan dirampas kerana disyaki diseludup masuk ke negeri ini dan tidak bercukai.

Hasnan memberitahu pihaknya percaya semua minuman keras tersebut diseludup masuk menggunakan kapal dari Singapura, China dan Belanda sebelum tiba di sini.

Anggaran nilai rampasan di lokasi pertama berjumlah RM109,100.

Sementara itu, katanya, dalam operasi dilakukan pasukan sama ke atas sebuah rumah kayu di Batu 12, Jalan Oya Lama pada jam 8 malam, pihaknya merampas sebanyak 328 kotak minuman keras jenama ‘Tsing Tao’ dianggarkan bernilai RM18,000.

Katanya, tiada tangkapan dilakukan semasa pasukan PGA melakukan pemeriksaan di premis tersebut.

Beliau berkata, suspek terbabit dan barang rampasan dibawa balik ke BN 10 PGA untuk tindakan lanjut.

“Barang rampasan akan dirujuk dan diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kedua-dua kes itu dilaporkan di Balai Polis Lanang di sini. Ini merupakan rampasan terbesar (minuman keras seludup) tahun ini melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM127,100 di dua lokasi operasi,” katanya.-ub

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA