Pesawat bawa PM Singapura terpaksa patah balik

SINGAPURA: Sebuah pesawat yang membawa Perdana Menteri Singapura ke Udaipur, India terpaksa berpatah balik ke New Delhi berikutan cuaca buruk.

“Kadang-kadang alam semulajadi mempunyai rancangannya sendiri. Kami hanya 10 minit sahaja jauhnya dari Udaipur apabila cuaca buruk dan jarak penglihatan terhad memaksa pesawat kami berpatah balik ke New Delhi,” kata Lee dalam Facebook beliau.

“Menunggu di lapangan terbang Delhi sekarang, dengan harapan cuaca kembali baik dan kami boleh ke Udaipur (lagi). Tunggulah berita terkini,” kata Lee.

Catatan beliau disertai dengan rakaman video tentang cuaca buruk yang dialaminya susulan pembatalan pendaratan pesawat itu di Udaipur.

Lee mengadakan lawatan kerja 5 hari ke India bermula 3 Oktober. Beliau berada di New Delhi selama 3 hari sebelum ke Udaipur mulai hari ini sehingga 6 Oktober.

Beliau diiringi isterinya Ho Ching, Menteri Perdagangan dan Industri S Iswaran, Pemangku Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Kemahiran), Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan Ong Ye Kung serta Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Ehwal Luar Mohamad Maliki Osman.

Turut menyertai delegasi Lee ialah Ahli-ahli Parlimen Denise Phua dan Vikram Nair serta pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan dan Industri serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ekoran catatan pengalamannya itu, laman Facebook Lee menerima banyak maklum balas termasuk ramai yang mendoakan keselamatan beliau dan delegasinya sepanjang perjalanan pulang ke Singapura.

Selepas penerbangannya ditunda 3 jam, pesawat yang membawa Lee akhirnya selamat mendarat di Udaipur, sebuah bandar di barat negeri Rajasthan di India.

“Mendarat dengan sambutan hangat di Udaipur! Terima kasih kepada juruterbang dan anak kapal yang membawa kami dengan selamat ke sini,” kata Lee dalam catatan terbaharunya berserta gambar sambutan ketibaannya.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA