Pesakit OKU Perlu Rawatan Bukan Dikurung


KUALA LUMPUR - Tindakan meletakkan orang kurang upaya (OKU) di dalam kompartmen berpagar bukan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.‎

Menteri berkenaan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata tindakan seperti itu tidak patut dilakukan meskipun demi keselamatan penghuni.

"Kaunseling dan rawatan penjagaan khas perlu dibuat, bukan terus kurung dia...kalau mereka rasa tak mampu mengendalikan kes-kes keganasan, hantar sahaja ke PDK (Program Pemulihan Dalam Komuniti) terdekat supaya kita boleh didik mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan pengurusan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Perak (RKKC) Batu Gajah, Perak yang dilapor meletakkan penghuninya yang menghidap penyakit mental kronik di dalam kompartmen seumpama itu.

Semalam, Pengerusi RKKC R. Sivalingam menjelaskan pihaknya meletakkan 10 OKU yang mempunyai masalah mental kronik di dalam kompartmen berkenaan hanya pada waktu malam dan semasa mandi bagi tujuan keselamatan.

Rohani berkata, beliau memandang serius perkara itu dan sedang menunggu laporan akhir siasatan daripada pegawainya sebelum memutuskan tindakan lanjut.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementeriannya sedia menghulurkan bantuan dari segi pemeriksaan dan rawatan kesihatan bagi penghuni rumah kebajikan itu, sekiranya diperlukan. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA