Pertembungan Maut Di Jalan Mukah-Balingian


SIBU: Seorang wanita maut manakala cucu angkatnya selamat apabila Toyota Hilux dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pengangkut kelapa sawit di KM9, Jalan Mukah-Balingian awal pagi semalam.

Mangsa dikenali Ini Baka, 50, bersama cucu angkatnya dipercayai dalam perjalanan ke Mukah apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa dipercayai bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan sekitar jam 6.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata siasatan polis di tempat kejadian mendapati lori membawa muatan sawit dikatakan datang dari Mukah dilanggar pacuan empat roda terbabit yang masuk ke laluan lori itu.

Katanya, impak kuat pertembungan itu menyebabkan tayar lori sebelah kanan tercabut sehingga lori terbabit tersadai di atas jalan.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pagi semalam.

Bagaimanapun, cucu angkat mangsa yang berusia 13 tahun mengalami luka di kelapa manakala pemandu lori berusia 43 tahun yang hanya cedera di tangan kanan menerima dua jahitan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.

“Polis menjalankan siasatan kemalangan itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Jimmy.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah menerima panggilan kecemasan jam 6.31 pagi berhubung kemalangan itu.

Setiba di lokasi berhampiran Kampung Jebungan jam 6.55 pagi, sepasukan lima anggota bomba diketuai PBK II Jolhan bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk namun mangsa kelihatan sudah tidak bernyawa.

Kemalangan tersebut turut memperlahankan pergerakan lalu lintas sehingga operasi bomba selasai jam 7.26 pagi.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA