Perpaduan Dalam PBRS Jamin Kemenangan BN



LAHAD DATU - Perpaduan dalam kalangan anggota Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) penting bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Mengibaratkan perjuangan PBRS seperti (perlumbaan) arnab dan kura-kura, presidennya Tan Sri Joseph Kurup berkata, walaupun pada awalnya parti itu menghadapi cabaran getir namun akhirnya berjaya menuju kejayaan.

"Matlamat dan perjuangan PBRS bukan hanya untuk generasi sekarang tetapi untuk masa depan anak-anak kita," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan PBRS Bahagian Silam dan Semporna, semalam.

Kurup yang juga Anggota Parlimen Pensiangan berkata PBRS perlu mengukuhkan perpaduan dengan parti komponen BN yang lain jika anggota PBRS mahu parti berkenaan terus kuat dan maju.

Menurutnya perpaduan seumpama itu amat penting kerana di mana ada perpaduan di situlah ada kemenangan.

Terdahulu, seorang anggota Majlis Tertinggi PBRS, Mohammad Seh Abdul Liri mencadangkan supaya satu daripada kerusi Parlimen iaitu Silam dan Semporna yang kini diwakili Umno diberikan kepada komponen BN. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA