Peroleh RM29K, Hanya Dengan Mengemis


Jakarta: Seorang lelaki ditahan di bandar raya ini kelmarin bersama wang tunai Rp90 juta (RM29,000), hasil daripada mengemis sejak enam tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Jakarta Selatan, Mursidin berkata, lelaki itu, Muklis yang berusia 64 tahun dan berasal dari Padang, Sumatera Barat, ditahan di bawah jalan raya bertingkat di Kebayoran Lama.

Menurut Mursidin, wang berkenaan ditemui selepas pihaknya berjaya memujuk Muklis mengeluarkannya dari beberapa bungkusan yang disimpan rapi di dalam seluarnya.


“Dia mulanya berkeras tidak mahu menunjukkan wang yang ada padanya. Tetapi, selepas dipujuk, dia mengeluarkannya dari seluarnya. Semuanya tersusun rapi dalam beberapa bungkusan,” katanya Mursidin.

Ketika disoal siasat, Muklis mengaku dia memperoleh wang berkenaan dengan mengemis sejak enam tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia masih belum mencukupi untuk membolehkan dia pulang ke kampung asalnya.

“Dia menyasarkan Rp150 juta (RM50,000). Katanya, dia masih kekurangan Rp60 juta sebelum boleh pulang ke Padang,” kata Mursidin.

Katanya, pihaknya tidak merancang untuk merampas wang berkenaan atau mendakwa Muklis. Sebaliknya, lelaki itu akan ditahan seketika untuk menjalani pemulihan sebelum dihantar pulang ke Padang.

“Ini juga pengajaran kepada orang ramai di Jakarta supaya tidak mudah simpati kepada peminta sedekah. Sudah banyak kes seperti ini dibongkar. Mereka mengambil jalan mudah untuk memperoleh wang,” kata Mursidin. - Metro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA