Permohonan Anwar agar kuorum bersidang tarik diri ditolak

PUTRAJAYA 12 Okt. - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan pihak pembelaan agar kuorum bersidang menarik diri daripada mendengar permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara memutuskan demikian selepas berpuas hati permohonan Datuk Seri Gopal Sri Ram tiada merit.

Sehubungan itu, mahkamah tertinggi negara meneruskan prosiding semakan dengan mendengar penghujahan Sri Ram.

Hakim Zulkefli berpendapat, panel bersidang tidak akan bersikap berat sebelah ketika mendengar permohonan itu dan memberi jaminan akan berlaku adil kepada Anwar berdasarkan fakta dan keterangan kes yang dikemukakan.

Sebelum semakan didengar, Sri Ram yang mengetuai pasukan pembelaan membantah kuorum bersidang dan memohon satu panel lain mendengar semakan tersebut.

Sri Ram berhujah, alasan permohonan itu merujuk kepada komen yang dibuat oleh Hakim Zulkefli ketika memutuskan keterangan bekas Pengarah Jabatan Siasatan ‎Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff tidak akan digunakan sebagai bukti dalam permohonan semakan Anwar.

Hakim Zulkefli ketika memutuskan demikian telah membuat komen lanjutan bahawa perbicaraan kes Anwar di Mahkamah Tinggi serta rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah adil. - UTUSAN ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA