Permainan Ramalan Di Laman Sosial Haram



KUALA LUMPUR – Umat Islam dinasihatkan agar berhati-hati dengan kegiatan permainan ramalan yang semakin hebat dipromosikan melalui laman sosial kerana ia boleh meruntuhkan aqidah.

Timbalan Presiden Gabungan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata hukum permainan ramalan adalah haram dalam Islam dan menjadi dosa besar bagi sesiapa yang terlibat, walaupun hanya untuk berseronok di laman sosial.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang syariah dan undang-undang Universiti Al-Azhar juga berkata hukumannya tetap haram dan balasan di akhirat tetap sama, sama ada bermain atau sekadar ‘like’ game yang dimain kenalan di Facebook, berkongsi mahupun ‘update’ status game yang mereka main.

Perunding Motivasi, Datuk Ustaz Mohd Zawani Yusoh berpendapat umat Islam perlu mengkaji bentuk permainan yang ada di laman sosial dengan mengadakan saringan atau menapis maklumat-maklumat yang diperoleh agar tidak terjerumus ke dalam aktiviti terlarang dan melanggar syariat Islam.

“Perlu tengok isu kerana dalam Islam perkara yang berkaitan aqidah tidak boleh dibuat suka-suka. Yang betul itu mungkin kebetulan sahaja,” katanya.

Antara soalan ramalan yang mendapat sambutan ramai di laman sosial ialah seperti “Siapakah yang sedang ‘stalk’ FB anda?”, “Siapakah bakal pasangan anda?” dan “Berapa ramaikah anak yang bakal anda miliki?”.

Profesor di Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Abdul Basir Mohamad menjelaskan bahawa sekiranya isu tersebut boleh melibatkan kepercayaan dan pegangan seseorang yang boleh mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupannya, ia dikira sebagai melibatkan isu aqidah.

“Saya berpandangan ia boleh dianalogi sebagai mempercayai kepada ramalan yang sangat dilarang oleh Islam.

“Ini boleh dirujuk Surah al-Ma’idah ayat 3 dan juga beberapa buah hadis Rasulullah SAW antaranya yang bermaksud “Sesiapa yang datang bertemu dengan tukang ramalan, kemudian mempercayai apa yang dikatakannya, sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA