Perlu Cergas Sebelum Mendaki Gunung Santubong



KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengingatkan pihak sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun individu yang berhasrat untuk mendaki Gunung Santubong agar berada dalam keadaan cergas sebelum melakukan pendakian.

Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata, saranan itu ekoran jangkaan bahawa kebanyakan aktiviti pendakian akan dijalankan terutama ketika musim cuti sekolah nanti.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk memberi nasihat berikutan trend penyelamatan di Gunung Santubong yang kami dapati pada tahun ini dari September hingga Oktober, sebanyak lima operasi menyelamat direkodkan melibatkan 30 mangsa di pelbagai aras termasuk aras lapan yang merupakan aras yang paling sukar.

“Berdasarkan rekod ini, saya dapati bahawa insiden ini banyak berlaku akibat pendaki ambil mudah kesukaran mendaki Gunung Santubong atau tidak berada dalam keadaan cergas sepenuhnya,” dedanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bot Penyelamat sumbangan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya di sini semalam.

Pada masa sama Nor Hisham turut mengingatkan agar pengiring yang mengetuai kumpulan pendaki untuk berada di tahap cergas sepenuhnya dari segi fizikal dan mental.

“Terus terang saya katakan Gunung Santubong adalah gunung yang sukar didaki dalam tempoh sehari, musim cuti sekolah sudah dekat dan selalunya pelbagai program akan diadakan termasuk mendaki gunung ini.

“Saya berharap pihak sekolah dan institusi memastikan semua peserta betul-betul sudah cukup cergas termasuk pengiring,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pihaknya akan mencadangkan agar setiap pendaki membuat laporan kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sebelum melakukan pendakian di gunung tersebut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA