Perlawanan 'Hidup Mati' Sarawak Dalam Liga Super


KUCHING: Sudah pasti penyokong tegar Sarawak mengharapkan anak buah David Usop dapat mempamerkan aksi bertenaga untuk melakar kemenangan atau sekurang-kurangnya seri menentang PDRM dalam perlawanan 'hidup mati' saingan Liga Super 2016.

Perlawanan terakhir Liga Super itu amat getir buat pemain Sarawak kerana jika kalah Liga Perdana menanti musim depan.

Legenda bola sepak Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamed turut berkongsi tips penting menjelang perlawanan terakhir itu untuk membolehkan Sarawak meraih keputusan positif.

Memetik laporan Utusan Sarawak, Mahyan amat berharap Sarawak dapat mencatat keputusan positif dalam aksi terakhir pada 22 Julai di Stadium Negeri itu.

Beliau yang pernah menggemudi Sarawak mara ke separuh Piala Malaysia 1988 turut memberi tiga peringatan penting sebagai perkongsian menjelang perlawanan penting iaitu menuntut komitmen penuh pemain.

Menurutnya, kebanjiran peminat dilihat sebagai tonik tambahan untuk memberi sokongan kepada pemain.

Dalam perkembangan sama, Mahyan turut berharap Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menurunkan harga tiket bagi setiap kemasukan penonton ke Stadium Negeri.

"Perlawanan itu kelak boleh diibaratkan 'hidup mati' buat pasukan Sarawak. Lantaran, mungkin apa yang saya cadangkan ini mampu menghadirkan impak positif kepada pasukan kesayangan kita ini," katanya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA