Perkhidmatan Perubatan Masih Disubsidi



Putrajaya: Kementerian Kesihatan menjelaskan, Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) bukan bermaksud penswastaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkhidmatan FPP dimulakan sejak 2007 sebagai pakej kepada Pegawai Perubatan Pakar Kementerian Kesihatan dan mengurangkan penghijrahan mereka ke hospital swasta.

"Kekurangan Pegawai Perubatan Pakar di hospital Kementerian Kesihatan sering menjejaskan pemberian perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran di hospital kerajaan.

"Bagi perkhidmatan perubatan bersubsidi tinggi ini, pesakit sememangnya dikenakan sedikit bayaran bersubsidi bergantung kepada kelas rawatan dan kemudahan disediakan kepada pesakit di mana caj ini sangat rendah dan berpatutan kerana masih terus disubsidi kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai surat pelaksanaan FPP disebarkan menerusi media sosial Facebook serta mengundang salah tanggapan orang ramai kononnya tiada lagi perkhidmatan bayaran perubatan mesra rakyat RM1.

Dr Noor Hisham berkata, fokus perkhidmatan FPP adalah kepada rakyat yang berkemampuan untuk membayar kos penuh perubatan dan mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan penjagaan rawatan kepakaran yang tinggi di hospital Kementerian Kesihatan terpilih.

Katanya, perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada disubsidi kerajaan tetap diteruskan malah, akan dimantapkan lagi melalui pelbagai teras transformasi sistem kesihatan oleh Kementerian Kesihatan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA