Perkahwinan Bertahan Dua Jam Gara-Gara Snapchat


Seorang pegantin lelaki di Arab Saudi menceraikan isterinya selepas dua jam berkahwin kerana wanita itu menghantar gambar majlis perkahwinan mereka kepada rakannya, walaupun beliau sebelum ini telah berjanji tidak akan berkongsi gambar perkahwinan atau klip video dengan sesiapa.

"Terdapat perjanjian sebelum berkahwin antara adik perempuan saya dengan tunangnya bahawa dia tidak akan menggunakan aplikasi media sosial seperti Snapchat, Instagram atau Twitter untuk menyiarkan atau menghantar gambar beliau," kata abang pengantin perempuan itu.

"Ia termasuk dalam kontrak perkahwinan dan dipersetujui. Malangnya, adik perempuan saya melanggar ikrar tersebut dengan menggunakan Snapchat untuk berkongsi gambar majlis perkahwinan dengan rakan perempuannya yang menjurus kepada keputusan mengejut pengantin lelaki untuk membatalkan perkahwinan mereka dan bercerai," katanya yang dipetik akhbar Arab Saudi, Okaz.

Sanak saudara kedua-dua keluarga berbelah bahagi terhadap keputusan tersebut. Ada yang berkata ia wajar dilakukan memandangkan pengantin perempuan gagal mematuhi perjanjian.

Bagaimannapun, ahli keluarga yang lain berkata, gambar yang diambil daripada telefon bimbit tidak boleh dianggap sebagai gambar majlis perkahwinan.

Pada Mei lalu, seorang pakar perundangan Arab Saudi memberi amaran terhadap kes penceraian yang meningkat dalam kalangan mereka yang baharu berkahwin, dengan mendedahkan perangkaannya kira-kira 50 peratus.

"Salah faham, perbezaan pandangan dan pendekatan mudah dalam perkahwinan tanpa penghargaan yang mendalam terhadap tanggungjawab yang datang bersamanya merupakan antara penyebab utama berlakunya penceraian dalam kalangan golongan muda.

"Perkahwinan menemui kegagalan apabila tidak wujud asas atau kepercayaan," kata Ahmad Al Maabi.

Pakar itu menyatakan demikian ketika mengulas berita tentang pengantin perempuan warga Arab Saudi diceraikan selepas melangsungkan perkahwinan apabila beliau tidak menghiraukan pengantin lelaki dengan terus berkomunikasi dengan rakan-rakan beliau melalui telefon bimbit.

"Selepas majlis perkahwinan itu, pengantin lelaki membawa pasangannya ke hotel yang telah mereka tempah.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja pengantin perempuan masuk ke bilik, dia mula menggunakan telefon bimbitnya," kata seorang saudara mereka.

Pengantin lelaki cuba menghampirinya dan menjadi lebih mesra tetapi dia terkejut apabila beliau tidak menghiraukannya dan tidak membalas perbualan.

Apabila pengantin lelaki bertanya, pengantin perempuan berkata beliau sibuk melayan rakan-rakannya yang mengucapkan tahniah di atas perkahwinannya. Pengantin lelaki meminta beliau untuk melewatkan membalas mesej tetapi beliau enggan melakukannya dan naik angin.

Apabila pengantin lelaki bertanya sama ada rakannya lebih penting daripada beliau, pengantin perempuan berkata mereka adalah penting.

Perbalahan antara kedua-duanya menjadi lebih tegang, pengantin lelaki memberitahu beliau menceraikan pasangannya itu dan meninggalkan hotel tersebut.

Sanak saudara berkata, kes penceraian difailkan dan mahkamah merujuk kes itu kepada sebuah jawatankuasa bagi menilai jika pasangan yang baharu berkahwin boleh berdamai, tambah seorang saudara.

Bagaimanapun, pengantin lelaki yang tercalar maruahnnya enggan menarik balik kes tersebut dan mahukan penceraian. - MalaysiaGazette

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA