Pergerakan Wanita BN Perlu Bertindak Awal Hadapi Pilihanraya Akan Datang


Pergerakan Wanita dibawah parti komponen Barisan Nasional (BN) harus bertindak lebih awal mendekati pengundi sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.

Timbalan Ketua Wanita PBB, Datuk Fatimah Abdullah berkata, langkah yang perlu dilakukan ialah mendaftarkan pengundi baharu dan pengundi berada di luar kawasan sekaligus mendapatkan sokongan mereka.

“Walaupun ada kalangan rakyat mengatakan menyokong BN namun ia perlu diterjemahkan dalam bentuk undi dan tugas wanita PBB ialah mendaftarkan pengundi baharu,”

“Kita tidak mahu menunggu dalam tempoh berkempen sahaja mendekati pengundi sebaliknya kita mahu semua wanita peringkat akar umbi bergerak meraih sokongan lebih awal,” jelasnya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, semua wanita PBB disaran mendekati pengundi-pengundi baharu dan menjaga mereka yang berada dalam kawasan wakil rakyat BN.

“Kerjasama semua pihak termasuk wakil rakyat komponen BN amat penting bagi meneruskan kesinambungan kemenangan BN pada PRU14 nanti.

“Pada masa sama, golongan wanita PBB juga harus memberi sokongan padu kepada calon-calon BN pada PRU14 nanti dan membantu memastikan kemenangan mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau juga tidak menafikan peranan golongan wanita dalam memberi kemenangan besar kepada calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Golongan wanita memainkan peranan amat besar meraih undi dan membantu kemenangan calon pada PRN lalu dan insya-Allah kita akan meneruskan momentum ini menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,”

Menurutnya lagi, beliau mahu golongan wanita diberi peluang dan hak sama rata terlibat secara langsung dalam sektor ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Katanya wanita juga mampu berdikari setanding dengan kaum lelaki malah mereka mampu memikul tugas dan tanggungjawab sekiranya diberi peluang. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA