Perbicaraan kes kematian menantu TPM ditetap Januari 2017


KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mendapatkan rawatan gigi Jun lalu, ditetapkan lima hari bermula 23 hingga 27 Januari 2017.

Hakim Zaman Mohd. Noor menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar yang memohon satu tarikh baharu bagi menyediakan beberapa dokumen berkaitan kes itu yang akan digunakan bagi membantu perbicaraan.

Shukor berkata, antara dokumen yang akan diserahkan kepada pihak pembelaan ialah dua laporan daripada farmaseutikal dan satu set yang mengandungi 36 keping gambar di tempat kejadian.

Beliau memaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga telah menyerahkan 32 dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan.

Peguam Dev Kumaraendran yang mewakili Dr. Ting Teck Chin, 36, mengesahkan perkara tersebut dan mahkamah menetapkan 11 November depan sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA