Penyeragaman Gaji Minimum Terus Diusaha


KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan terus berusaha menyeragamkan gaji minimum pekerja Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Menterinya, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, kajian semula akan dibuat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diputuskan.

"Buat masa ini belum ada tarikh tetap mengenai proses menyeragamkan gaji minimum ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Randau Bersama Menteri sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Selepas pelarasan sepenuhnya, 2013, gaji minimum di Sabah dan Sarawak adalah sebanyak RM800 berbanding di Semenanjung Malaysia iaitu RM920.

Namun jumlah itu meningkat kepada RM920 untuk Sabah dan Sarawak, manakala RM1,000 bagi pekerja di Semenanjung Malaysia setelah melalui pelarasan fasa kedua yang dilaksanakan pada Julai 2016.

Menurutnya, gaji minimum masih gagal untuk diseragamkan berikutan kadar pengangguran yang tinggi.

"Kita menjalankan kajian tentang penentuan gaji minimum menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang mengadakan rundingan dengan para majikan.

"Namun, selepas menilai keputusan rundingan, pelarasan gaji tidak dapat dilaksanakan setelah mengambil kira kadar pengangguran dan kadar produktiviti," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA