Penjual Baju Bersih 5 Dihalau Dari Pasar Malam Metrocity



KUCHING: Sekumpulan penyokong NGO Bersih yang mahu mengadakan jualan baju bercetak Bersih 5 di kawasan Pasar Malam Belia N6 Metrocity di sini malam tadi, diminta untuk tidak mengganggu aktiviti jualan ditempat tersebut.

Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam, apabila beberapa penyokong Himpunan Bersih yang berbaju kuning terdiri dari pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak membuka jualan baju Bersih 5 kepada orang ramai yang berkunjung ke tapak Pasar Malam yang baru dibuka minggu lepas.

Tindakan penyokong Bersih tersebut mencetus rasa kurang senang dikalangan peniaga dan orang ramai yang rata-rata dari kalangan belia.

Menurut sumber, menyedari rungutan orang ramai pihak Jawatankuasa Pasar Malam berkenaan meminta agar penyokong Bersih tidak membuka jualan dan beredar dari tempat itu demi keselesaan semua pihak.

Sumber yang enggan dinamakan itu memberitahu, pihak Bersih jelas tidak menghormati peraturan yang ditetapkan pihak Jawatankuasa Pasar Malam.

“Mereka tidak boleh datang dan pergi begitu saja, kerana siapa saja yang ingin membuka jualan perlu memohon serta membayar sewa tapak jualan yang ditetapkan terlebih dahulu,” katanya.

Pasar Malam Belia N6 Metrocity mula beroperasi pada minggu lepas atas inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Tupong Fazzrudin Abdul Rahman sebagai platform untuk menggalakan golongan belia berniaga serta memasarkan produk masing-masing. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA