Penjawat awam penyumbang besar kejayaan Betong: Uggah


BETONG: Penjawat awam merupakan kakitangan kerajaan yang banyak menyumbang kepada pembangunan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sumbangan penjawat awam amat besar kepada kejayaan Betong dalam mencapai kemajuan dan pembangunan.

“Sokongan yang diberikan penjawat awam kepada kerajaan selama ini berjaya membentuk jaringan kerjasama yang jitu antara kedua-dua pihak.

“Saya difahamkan lebih 40 agensi perkhidmatan di Betong yang masing-masing melaksanakan tanggungjawab dan peranan baik dalam menjalankan program pembangunan kerajaan.

“Justeru, kebajikan rakyat juga dapat dijaga dengan adanya kepimpinan yang aktif di peringkat akar umbi dan membuktikan sokongan semua pihak amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Penjawat Awam Bersama Pemimpin Daerah Betong 2016 bertema ‘Melestarikan Kerjasama Antara Agensi’ di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong malam kelmarin.

Katanya, pembangunan yang dikecapi merupakan adalah hasil kepimpinan terdahulu memastikan pembangunan Betong berjaya dilestarikan.

“Usaha bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang menjadi pemimpin lebih 40 tahun telah banyak membawa pembangunan dan menarik begitu banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di sini.

“Pembangunan sekitar dikecapi dengan pelbagai kemudahan asas diwujudkan merangkumi akses jalan raya mencapai 90 peratus dibina di Betong, bekalan air bersih mencapai 85 peratus iaitu lebih tinggi daripada pencapaian negeri.

“Bekalan elektrik mencapai 90 peratus, juga melebihi pencapaian negeri ini.

“Ini adalah hasil yang dibawa bekas pemimpin yang begitu dikagumi,” katanya sambil menambah, agenda pembangunan yang dirangka bersama kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meneruskan transformasi pembangunan di luar bandar kerana rakyat masih miskin dan ekonomi perlu ditingkatkan.

Beliau berkata, penjawat awam juga perlu memahami polisi kerajaan dengan membantu rakyat merujuk kepada program pembangunan selari dengan dasar yang dirancang.

Program tersebut merupakan cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu yang turut menyumbang sejumlah RM25,000 bagi menjayakan majlis itu.

Hadir sama Penasihat Penyelidikan Sains Negeri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Tan Sri Empiang Jabu, ADUN Layar Gerald Rentap Jabu, ADUN Meluan Rolland Duat, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong Friday Belik, Pegawai Kesihatan Bahagian Betong Dr Johnny Pangkas, Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Dr Richard Rapu, ketua-ketua jabatan dan masyarakat. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA