Penjara 20 Tahun, Tipu Urusan Jual Beli Kereta Di Miri


MIRI: Seorang jurujual kereta wanita dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan denda RM3,500 atau 14 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah atas tujuh tuduhan menipu enam individu berkaitan urusan pembelian kereta.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Enching Chendan, 33, dari Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya di sini menghadapi tujuh tuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh telah menipu Jennifer Noeng dengan curang memperdayakan mangsa agar mempercayainya akan membantu dalam urusan membeli sebuah kereta Perodua Axia dari Syarikat Perodua Cawangan Miri sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM300 kepadanya sebagai bayaran tempahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 2 petang, 19 Ogos lalu di sebuah pasar raya di Jalan Riam.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh telah menipu mangsa yang sama dengan mendorongnya menyerahkan RM6,500 kepadanya sebagai bayaran pendahuluan kereta yang hendak dibeli.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 19 Ogos lalu di sebuah bank di Jalan Boulevard di sini.

Manakala dalam tuduhan ketiga, tertuduh telah menipu Teo Geok Lim dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayainya akan membantu mendapatkan sebuah kereta Perodua Axia 1.0E (M) dari Syarikat Perodua Cawangan Miri sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2,000 sebagai bayaran pendahuluan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.15 pagi, 22 Ogos lalu di Jalan Krokop 10 dan 11.45 pagi, 15 September lalu di Lapangan Terbang Miri.

Sementara dalam tuduhan keempat, tertuduh telah menipu Nancy Iching berhubung urusan serupa sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM15,300 kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 12 April tahun ini di Pusat Komersil Boulevard di sini.

Manakala dalam tuduhan kelima, tertuduh sekali lagi telah melakukan kesalahan serupa dengan menipu Stanly Jalian Antau berhubung urusan pembelian kereta sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2,100 kepada tertuduh sebagai bayaran pendaftaran.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12 tengah hari, 2 September lalu di Happy Garden di sini.

Dalam tuduhan keenam, tertuduh juga telah menipu Anthony Kuyok dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayainya akan membantu dalam urusan pembelian sebuah kereta dari sebuah syarikat menjual kenderaan sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM4,630 kepadanya bagi tujuan bayaran pendahuluan.

Enching didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.10 tengah hari, 30 Mei lalu di sebuah syarikat menjual kenderaan di Jalan Pujut 2 di sini.

Sementara dalam tuduhan terakhir, tertuduh juga telah menipu Jeffery Kua Jak Hui berhubung urusan serupa sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2,010 kepadanya sebagai bayaran pendahuluan dan mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan yang hendak dibeli.

Tertuduh telah ditangkap pada jam 12.18 tengah hari, 26 September lalu di pekarangan Pejabat Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan dan denda RM500 atau dua bulan penjara bagi setiap tuduhan dihadapi.

Bagaimanapun, Hakim Steve memerintahkan hanya hukuman bagi tuduhan pertama dan kedua berjalan serentak namun berasingan dengan hukuman bagi lima tuduhan yang lain.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA