Peningkatan Laporan Palsu, Polis Sarawak Ambil Tindakan


KUCHING: Polis Sarawak tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang membuat laporan polis palsu kerana tindakan tersebut membazir masa dan tenaga pegawai penyiasat, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata, setakat September tahun ini, sebanyak 12 kes dilaporkan berlaku manakala 11 kes sepanjang tahun lepas.

"Kita tidak akan berdiam diri dan mengambil tindakan tegas untuk mengekangnya memandangkan kes ini mencatatkan peningkatan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Menurutnya, individu yang didapati bersalah akan disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mazlan menambah, sebanyak empat kes dilaksanakan proses pendakwaan pada tahun lepas manakala lapan individu didakwa tahun ini.

Dalam perkembangan sama menurutnya lagi, kebanyakan kes laporan polis palsu melibatkan isu wang gaji pekerja yang digelapkan tetapi dilaporkan dicuri atau dirompak selain menyatakan kenderaan dicuri tetapi pemilik kenderaan tidak mampu membayar ansuran bulanan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA