Penguatkuasaan Gaji Minima Bebankan Pengusaha Taska


KUCHING: Pengusaha Taska Qaseh berharap Kementerian Sumber Manusia memberi pengecualian dalam pelaksanaan kadar baru gaji minimum yang dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2016 kerana kekangan sumber kewangan dan ketidakmampuan pihak taska merealisasikan hasrat tersebut.

Pengusaha Taska Qaseh Laila, Hajah Salmah Ibrahim berkata, memandangkan sumber kewangan taska adalah sangat terhad, perolehan taska hanya cukup-cukup untuk membayar gaji pekerja dan kos penyelenggaraan taska.

"Pihak kami rasa sangat terbeban dengan kadar gaji minima yang telah dilaksanakan.

“Pihak kami yakin akan berlaku kesulitan di pihak ibu bapa dengan kadar baru ini kerana pihak taska tidak mempunyai pilihan selain menaikkan bayaran perkhidmatan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis sempena lawatan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Tadika Qaseh Laila di sini pagi tadi

Beliau yang juga Presiden Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) menjelaskan setakat ini, pihak taska tidak pernah menerima apa-apa bentuk bantuan dari pihak kerajaan.

"Apa yang kami mahukan hanyalah keadaan yang adil dan tidak membebankan pihak ibu bapa dan pengurusan taska," jelasnya

Kementerian Sumber Manusia pada Mei lalu mengumumkan Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM2016)  dengan kadar kenaikan daripada RM800 ke RM920 bagi Sabah dan Sarawak, dan RM1000 bagi Semenanjung berkuat kuasa 1 Julai 2016.

Taska Qaseh Laila ditubuhkan pada 16 Mac 2012 dan dimiliki oleh Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA), mempunyai 13 tenaga pengasuh yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal sekitar Kuching dengan 51 orang kanak-kanak dibawah jagaan mereka. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA