Penglibatan Ramai Pihak Dalam Penganjuran Program Amat Penting - Nancy

 

SIMUNJAN - Penglibatan semua lapisan masyarakat sama ada dari badan beruniform, penjawat awam, pihak swasta, murid-murid sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) malah golongan kurang upaya dalam sesuatu program seperti Hari Sukan Negara (HSN) yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan merupakan satu contoh terbaik dalam merapatkan tali silaturrahim di antara semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri berkata, selain turut serta dalam program-program yang ada, ia turut dapat memeriahkan suasana dengan melakukan aktiviti sihat.

Biarpun dianjurkan dalam skala yang kecil, tetapi impaknya yang luar biasa merupakan suatu kejayaan seperti yang boleh disaksikan di Simunjan ini.

"Saya berasa amat bangga melihat sambutan penduduk Simunjan pada pagi ini yang turut tidak ketinggalan meraikan bersama HSN sebagaimana ia diadakan serentak di seluruh negara pada hari ini.

"Semangat muhibbah dan kecintaan yang ditunjukkan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama ini memberi keyakinan kepada kita bahawa negara kita akan terus menjadi negara yang mengamalkan semangat perpaduan yang tinggi dan akan terus dikagumi negara luar," katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Simunjan 2016 di Padang Sentral Simunjan pagi tadi.

Nancy juga berharap agar semua pihak dapat menjadikan sambutan HSN sebagai platform untuk meningkatkan perpaduan dan keharmonian di kalangan satu sama lain dimana dengan giat bersukan, seluruh rakyat Malaysia akan terus mengamalkan budaya hidup yang sihat dan dapat mengelakkan diri daripada mendapat obesiti.

Mengenai sambutam HSN peringkat daerah Simunjan, kira-kira 700 orang masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama, kaum dan peringkat usia hadir memeriahkan program berkenaan.

Antara program yang dianjurkan pada sambutan tahun ini adalah aktiviti senamrobik, zumba, auto show, fun walk, pertandingan badminton, futsal, mini Regatta Kampung Kageng dan aktiviti mendaki Gunung Ngeli yang terdapat di Simunjan dan banyak lagi aktiviti sampingan yang lain. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA