Penganggur Ditahan Muat Naik Gambar Lucah Kanak-Kanak



KUALA LUMPUR: Seorang penganggur ditahan selepas dipercayai terbabit mengeksploitasi kanak-kanak dengan memuat naik gambar lucah mereka di internet, pagi tadi.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 20 tahun dari Jinjang Utara itu dibuat oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada jam 9.50 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata perbuatan suspek terbongkar susulan maklumat diterima daripada polis Taiwan, baru-baru ini berhubung aktiviti berkenaan di media sosial.

Katanya, semua gambar terbabit dipercayai dimuat naik dari negara ini berdasarkan alamat protokol internet (IP Address) dari komputer digunakan suspek.

"Hasil siasatan mendapati 'IP Adress' berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki dan dipercayai turut membuat perkongsian gambar-gambar lucah mangsa membabitkan kanak-kanak di internet.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas telefon bimbit, komputer riba, modem, unit pemprosesan pusat (CPU) dan satu pasport," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Amar Singh berkata, setakat ini masih belum dapat disahkan sama ada gambar yang dimuat naik itu membabitkan mangsa dari negara ini atau sebaliknya, dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, jumlah mangsa serta usia mereka yang terbabit juga belum dapat dipastikan dan pihaknya masih dalam usaha untuk mengumpul maklumat berkaitan.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman. Semua barang kes juga sudah dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisa," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA