Pendaki Terkandas Di Gunung Santubong Diselamatkan


KUCHING: Seramai 12 pendaki terkandas selepas seorang daripada mereka cedera di kaki ketika sedang menuruni laluan ke kaki Gunung Santubong dekat sini, petang kelmarin (Sabtu).

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, seramai lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikerah ke lokasi kejadian susulan menerima maklumat pada jam 5.48 petang.

Pasukan penyelamat yang diketuai PBK II Wan Umar Wan Alek tiba di Level 8 pada jam 7.26 malam dan mendapati seorang mangsa cedera di kaki kanan.

“Wanita berusia 31 tahun itu kemudian diangkat menggunakan pengusung dan pasukan penyelamat tiba di kaki gunung pada jam 10.22 malam,” katanya.

Mangsa kemudian diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi menerima rawatan.

“Pada masa sama, terdapat satu lagi kes membabitkan dua orang mangsa yang terkandas di Level 1 Gunung Santubong dan kedua-duanya diselamatkan pihak Renjer Hutan sekitar jam 8 malam,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang remaja yang dilaporkan hilang selepas masuk ke kawasan kebun di Kampung Singkalan, Simunjan selamat kembali ke rumahnya petang semalam.

Gadis berusia 19 tahun itu dikatakan lari ke kawasan kebun selepas bergaduh dengan ibunya sekitar jam 7 malam kelmarin.

Dia bagaimanapun gagal kembali ke rumah dan usaha mencarinya yang dilancarkan oleh penduduk kampung tidak membuahkan hasil.

Bimbang atas keselamatan mangsa, bapanya membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.

“Selepas pertengkaran remaja berkenaan terus pergi ke kebun berhampiran dan sehingga laporan polis dibuat remaja berkenaan belum balik ke rumah atau dijumpa.

“Bagaimanapun, sekitar jam 4.10 petang tadi (semalam), mangsa balik sendiri ke rumah dan ditemui oleh bapanya dalam keadaan selamat,” katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA