Pencemaran Sungai: Kilang Haram Perlu Ditutup


KUALA LUMPUR: Operasi kilang-kilang haram di seluruh negara terutama yang terletak berhampiran rizab sungai perlu dihentikan segera bagi mengelakkan masalah pencemaran seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Menggesa demikian, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, "Kalau boleh rizab sungai jangan lagi diguna pakai sebagai tempat kumbahan ataupun sebagai lokasi kilang".

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Akta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia 2016 (Akta FRIM) sempena sambutan ulang tahun FRIM ke-31 di sini, Sabtu.

Menteri itu diminta mengulas mengenai pencemaran teruk air Sungai Semenyih berpunca daripada sisa-sisa kilang industri dari kawasan Hitech Semenyih.

Pada 23 September lepas, Kumpulan Air Selangor dalam satu kenyataan mengumumkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa ditutup mulai 22 hingga 24 September berikutan masalah pencemaran itu.

Ia menyebabkan gangguan berpanjangan bekalan air daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang, dan sekali lagi loji itu terpaksa ditutup pada 4 Oktober lepas berikutan masalah yang sama.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata Akta FRIM yang diwartakan pada 30 September lalu telah berkuat kuasa sejak 1 Oktober.

Beliau berkata akta itu membolehkan FRIM mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan serta menubuhkan syarikat bagi menjana pendapatan sendiri yang bertujuan untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan dan aktiviti penyelidikan, pembangunan serta komersialisasi FRIM.

"Usaha pengkomersialan tersebut dijangka dapat membantu FRIM mengurangkan kebergantungannya kepada dana kerajaan serta mencapai 'self-sufficiency' dalam tempoh lima tahun," katanya.

Pada majlis itu, Wan Junaidi menyaksikan penyerahan tiga sijil Malaysia Book of Records iaitu hutan buatan manusia terbesar ditubuhkan di kawasan bekas lombong bijih timah, pokok hutan tertinggi yang ditanam manusia dan formulasi biodiesel pertama untuk pengwasapan (fogging) nyamuk Aedes kepada Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Terdahulu, beliau melepaskan hampir 1,400 peserta Rimbathon 2016 anjuran Kelab FRIM serta Pejabat Belia dan Sukan daerah Gombak sempena Hari Sukan Negara yang disertai pelajar sekolah selain orang awam serta kakitangan FRIM. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA