Pencari Kayu Dijumpai Mati Tertembak

Gambar Hiasan
JULAU: Hasrat seorang lelaki mencari kayu tidak kesampaian apabila mayatnya ditemui dengan kesan tembakan di badan di kawasan hutan Ulu Sungai Masit dekat sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Bidol Noyeng ketika dihubungi memberitahu satu laporan polis diterima pihaknya berhubung insiden tersebut.

Katanya, seorang suspek lelaki berumur 40 tahun telah menyerah diri dan ditangkap di Balai Polis Julau petang semalam.

“Suspek merupakan penghuni rumah panjang sama dengan mangsa,” kata DSP Bidol ringkas melalui WhatsApp.

Katanya, kes tersebut sedang dalam siasatan dan diklasifikasi di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.

Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Nyalak Intai, 61, dilapor keluar dari rumahnya di Rh Bebuli, Rantau Panjai, Sungai Masit pada jam 3.30 petang Ahad lalu.

Namun, ahli keluarganya mula mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila mangsa gagal pulang ke rumah pada keesokannya.

“Memikirkan mangsa mungkin sesat di dalam hutan, lebih kurang 30 penduduk rumah panjang bersama pasukan IPD Julau bertindak mencari mangsa yang ditemui di lokasi kejadian iaitu tiga jam perjalanan dari rumah panjang mereka,” kata DSP Bidol.

Menurutnya, terdapat kesan tembakan pada mayat mangsa dan selaras senapang patah milik mangsa juga ditemui di lokasi sama.

“Mangsa disyaki mati akibat terkena tembakan namun seorang suspek lelaki telah menyerah diri dan ditangkap dan memudahkan lagi proses penyiasatan,” katanya.

Beliau menambah mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu pada malam Selasa lalu untuk tujuan bedah siasat.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA