Pemilik Kedai Emas Rugi RM60,000, Kedai Dirompak

BATU GAJAH – Sebuah kedai emas di Jalan Pejabat Pos di sini kerugian kira-kira RM60,000 selepas dirompak empat lelaki yang bersenjatakan penukul.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohd Nasri Omar berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 pagi, pemilik kedai bersama seorang pembantu perempuan warga Indonesia berada di bahagian belakang premis.

“Dua lelaki yang bertopi keledar berpenutup muka penuh memecahkan cermin pameran barang kemas menggunakan penukul dan melarikan tiga daripada 26 dulang barang emas dalam tempoh kurang dua minit.

“Kesemua suspek kemudian melarikan diri menaiki dua motosikal ke arah Ipoh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Nasri berkata pemilik kedai sempat menyelamatkan beberapa dulang barang kemas kecuali yang berada dengan suspek kerana mereka mempunyai senjata api.

Katanya kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian tidak berfungsi dan rakaman kejadian hanyalah dari kedai berhampiran.

Mohd Nasri berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Pemilik kedai Ahmed Jalal Deen Mohamed Ismail, 59, berkata kejadian samun itu pertama kali berlaku sejak beliau mengusahakan perniagaan barang kemas di kawasan itu 24 tahun lepas.

Beliau juga percaya suspek telah membuat perancangan awal sebelum melakukan rompakan itu.

“Dua lelaki itu memakai helmet penuh (muka) dan sarung tangan sambil masing-masing membawa penukul, meluru masuk ke dalam kedai manakala dua lagi menunggu di luar.

“Ketika mereka melarikan barang kemas, saya menjerit dan hanya mampu menarik beberapa dulang barang kemas,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA