Pemilihan kontraktor laksana projek pembangunan harus bijak: Abdullah



KUCHING: Pemilihan kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan termasuk di bawah Bajet 2017 harus dilakukan dengan bijak bagi memastikan hanya kontraktor berwibawa sahaja akan dilantik.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Negeri Abdullah Saidol berkata, ia bagi memastikan peruntukan Bajet 2017 iaitu RM214 bilion untuk pengurusan dan RM46 bilion untuk pembangunan dapat diurus serta disampaikan dengan baik kepada rakyat.

“Rakyat ingin melihat kedua-dua aspek bajet ini diurus dengan baik terutama kecekapan mengurus perbelanjaan pengurusan dan pastikan kontraktor yang berwibawa dilantik untuk melaksanakan projek pembangunan.

“Pemantauan juga perlu kepada kontraktor yang mempunyai rekod buruk dan hanya melobi projek di Putrajaya tetapi gagal melaksanakan projek dengan efisien dan mengikut masa ditetapkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai Bajet 2017 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, semalam.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, bajet yang dibentangkan diharap bukan hanya kelihatan ‘cantik’ di atas kertas sahaja.

“Namun pada peringkat kementerian, kerenah birokrasi yang tidak cekap, pegawai tidak amanah dan kontraktor tidak bagus akan mencemari niat kerajaan yang mahu melihat bajet ini membuahkan hasil berimpak tinggi, membantu rakyat serta negara,” tegasnya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya ia memberi tumpuan kepada rakyat terutama bajet untuk menambah baik keadaan klinik dan sekolah yang diharapkan akan disalurkan lebih kepada mereka di kawasan luar bandar.

Namun kata Abdullah, pada masa yang sama usaha serius mesti dibuat ke arah menambah baik kecekapan dan akauntabiliti penyampaian bagi memastikan tiada ‘kebocoran dan kesalahan pengurusan’ dana awam.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA