Pembentangan Bajet 2017 kesinambungan agenda pembangunan tahun sebelumnya


KUCHING: Pembentangan Bajet 2017 adalah sebagai kesinambungan agenda pembangunan pada tahun sebelumnya termasuk kepada rakyat Sarawak.

Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pembentangan bajet berkenaan adalah kesinambungan daripada tahun sebelumnya.

“Seperti yang kita jangkakan adalah pembangunan lebih banyak di luar bandar kepada kita terutama berkaitan bekalan elektrik dan air.

“Maka itu kita berharap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan keutamaan kepada Sarawak di mana daripada 7,500 kampung di seluruh negara yang bakal menerima pemasangan lampu jalan LED, sebahagian besar diberikan kepada Sarawak,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagus mengulas mengenai pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam yang antara lain turut menyebut sebanyak 97,000 lampu jalan, 3,000 lampu LED di persimpangan jalan akan dipasang yang melibatkan 7,500 kampung seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembentangan bajet pada kali ini dianggap tiada yang ‘luar biasa’ namun yang penting adalah kesinambungan pembangunan kepada semua memandangkan ekonomi negara yang tidak begitu baik.

Beliau berkata apa yang dihuraikan Perdana Menteri pada pembentang bajet secara menyeluruh adalah amat baik kerana merangkumi perkara yang patut diutamakan.

“Melihat kepada bajet yang dibentangkan tadi, pada saya tiada yang ‘luar biasa’ kepada kita dan seperti yang saya jangkakan, memandangkan ekonomi negara kita tidak begitu baik.

“Kita tidak mengharapkan suatu jangkaan yang tinggi tetapi tetap menyambut baik bajet ini kerana memberi keutamaan termasuk penyediaan rumah, prasarana, perubatan dan sebagainya,” katanya.

Menteri Muda Belia dan Sukan itu juga berkata bagaimanapun rakyat negara ini harus berasa bertuah kerana walaupun ekonomi Malaysia tidak begitu baik tetapi pembangunan melalui bajet termasuk 2016 tetap diteruskan sehingga kini.

“Negara kita amat baik berbanding dengan negara serantau lain walaupun ekonomi semasa tidak berada pada tahap baik kita mampu mencapai pertumbuhan ekonomi sehingga empat peratus berbanding negara lain. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA