Bekas Pembantu Pegawai Keselamatan HUS Didakwa Terima Suapan RM201,351



KUCHING: Seorang pembantu pegawai keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas 16 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM201,351 daripada seorang kontraktor pembekal pengawal keselamatan di sini dua tahun lepas.

Tertuduh, Mohamad Don Adi Morshidi, 34 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Nixon Kennedy Kumbang.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika ini bertugas di Pahang didakwa menerima rasuah menerusi cek sebanyak 16 kali daripada Kassim Rosli yang mana 15 cek di Public Bank cawangan Stutong, Jalan Setia Raja, Kuching, manakala sekeping cek di Bank Alliance, Jalan Abell, Kuching.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu semasa bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini bermula 20 Januari hingga 16 Disember 2014.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima barangan berharga daripada orang yang terlibat dalam apa-apa urusan yang dilakukan oleh penjawat awam jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Ikhwan Mohd. Ibrahim menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi 16 pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan menanggung keluarga termasuk bapanya yang kini sakit.

"Saya telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai penjawat awam dan semasa siasatan dilakukan saya juga memberikan kerjasama penuh pada pihak berkuasa, jadi saya mohon satu jumlah ikat jamin yang rendah," kata tertuduh.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Nixon Kennedy kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM16,000 dengan syarat tertuduh perlu membayar deposit sebanyak RM6,000 kepada mahkamah dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan semula kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November ini untuk sebutan semula kes.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA