Pembantu Kedai Di Bintulu Nyaris Maut Dirempuh 4WD


BINTULU: Seorang pekerja sebuah kedai makan di Taman Sri Dagang di sini nyaris maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam kemalangan berantai pada jam 3.52 petang semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu berkata, mangsa Susiyanthi Tinus dari Indonesia cedera di dada dan punggung akibat dirempuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton sebelum dilanggar oleh Toyota Wish dari arah belakang.

“Siasatan awal pihak bomba mendapati pembantu kedai berkenaan sedang membersih bahagian lantai kedai sebelum dirempuh oleh 4WD terbabit dan bukannya tersepit di celah-celah kenderaan sebagaimana yang digembar-gemburkan,” ujarnya.

Jelasnya, belum dapat dipastikan punca sebenar insiden berkenaan, tetapi kedua-dua pemandu kenderaan itu dipercayai melarikan diri sejurus berlakunya rempuhan.

“Pihak bomba turut mendapat bantuan orang ramai bagi mengeluarkan mangsa yang dirempuh oleh kenderaan terbabit,” ujarnya lagi.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu dengan menggunakan kenderaan jenis EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA