Pembangkang Sarawak Berdepan Situasi Sukar


KUCHING: Disebalik kemelut yang melanda Pakatan Harapan (PH) di Sabah terutama peletakan jawatan beberapa pemimpin politik akan menyebabkan pakatan pembangkang Sarawak berdepan situasi tidak begitu baik.

Memetik laporan Utusan Borneo, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata, pakatan pembangkang Sarawak diketuai Parti Tindakan Demokratik (DAP) juga berdepan situasi tidak begitu baik.

Baru-baru ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Yap Hoi Liong yang kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, meninggalkan parti dan pergolakan seakan-akan berlaku di peringkat akar umbi mungkin disebabkan gaya kuku besi beberapa pemimpin utama parti itu.

"Ya, pembangkang seperti biasa membuat bising tetapi tidak signifikan dan amnya menumpang perkara popular dilakukan kerajaan," katanya.

Menurutnya, situasi terkini politik di Sabah dan kejayaan cemerlang Pasukan Adenan di Sarawak, sentimen pengundi di Sarawak tidak boleh dipandang ringan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

"Saya mempunyai set 'kekecewaan dan cabaran' berbanding Sabah, populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, keputusan berorientasikan pendekatan dan keikhlasan diterima sebaiknya oleh rakyat Sarawak.

"Di peringkat kebangsaan, pengundi mungkin mempertimbangkan kriteria dan penanda aras lain," ujarnya.

Beliau menambah, Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak akan mengambil mudah sebarang perkara dan cepat berpuas hati.

Jelasnya, ADUN BN di Sarawak perlu berkongsi beban dan tanggungjawab bagi memastikan Ahli Parlimen BN atau siapa sahaja calon yang mungkin tidak terdedah dengan sentimen memudaratkan, boleh menyebabkan penerimaan negatif dalam kalangan pengundi.

Menurut Abdullah lagi, Ahli Parlimen dan ADUN mesyo segera bekerja rapat dan menyelaras dengan berkesan bagi memastikan keyakinan kekal seperti ketika PRN lalu.

Pada masa sama katanya, harapan tinggi kerajaan persekutuan berhubung pelbagai tuntutan dan perundingan Sarawak mungkin juga boleh mempengaruhi pengundi di Sarawak.

"Jadi seperti pernah saya katakan sebelum ini, jika janji-janji pilihan raua sebelum ini belum dipenuhi dan keputusan rundingan dengan persekutuan tidak seperti diharapkan, status Sarawak sebagai 'BN Fix Deposit' di peringkat kebangsaan mungkin sedikit terjejas." jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA