Pembangkang Sabah keluar parti sebab diabaikan

KOTA KINABALU: Tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin utama PKR dan DAP Sabah adalah disebabkan parti-parti pembangkang tidak dapat memberikan apa yang dijanjikan kepada mereka, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Pemimpin-pemimpin yang bersungut ini hanya menunggu masa untuk meninggalkan parti kerana tidak berpuas hati selepas sekian lama diabaikan oleh pemimpin parti pusat mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin dan wakil rakyat pembangkang termasuk Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin, yang juga Adun Klias, Adun Moyog, Terence Siambun (DAP) dan Adun Likas, Junz Wong iaitu setiausaha DAP Sabah, keluar parti, Ahad lepas.

Musa, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata pakatan politik seperti Pakatan Harapan tidak dapat bersatu yang mendorong kepada masalah pertikaian dalaman dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan ahli.

“Akhirnya, rakyat yang menyokong dan menaruh harapan tinggi kepada mereka yang menderita,” kata Musa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah.

Beliau berkata rakyat perlu membuka mata dan berhati-hati dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai ideologi berbeza tetapi seolah-olah mahu menjalin pakatan dalam sekelip mata. – Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA