Pemandu maut lori terjunam ke gaung


LIMBANG: Seorang pemandu maut selepas lori muatan batu yang dipandunya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 35 Pekan Medamit di sini awal pagi semalam.

Mangsa Yahya Morshidi 42, dari Kampung Pelita Limbang meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian selepas lori terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 100 meter dalam kejadian berlaku jam 5.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Jelasnya ketika kejadian mangsa memandu lori muatan batu dari arah Hulu Medamit ke Pekan Medamit hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung di kawasan berkenaan.

“Mangsa telah tercampak keluar dari lori sejauh 50 meter. Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan bahagian kepala dan dada,” katanya di sini semalam.

Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA